Selasa, 19 April 2011

Teringatkan Kenangan Lama.... ketika di UiTM Melaka!


Pagi tadi, apabila saya membuka laman sesawang, saya telusuri email dan nota, dan tidak lupa saya melihat apa-apa maklumbalas orang ramai, tidak lupa juga saya meneliti setiap kiriman. yang paling menarik hati saya, apabila rakan-rakan daripada UiTM Melaka (semasa saya menuntut di dalam bidang Diploma Pentadbiran Awam dulu) mengirimkan beberapa keping gambar semasa kami berada di sana.

Bila melihat akan gambar-gambar berkenaan, teringat pula zaman dulu semasa masih belajar dan menuntut ilmu di Universiti yang mana jikalau boleh mahu diulang semula. Kenakalan, usik-mengusik, senda-gurauan, cinta, luka-dilukai, dan macam-macam lagi yang tergambar bila mengenang kembali zaman itu.

Apa yang saya boleh katakan, zaman ketika berada di UiTM Melaka jika nak dibandingkan dengan UiTM Shah Alam (ketika saya menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang) dirasakan sangat berbeza seolah-olah berada di dalam dua alam yang berlainan.

Bagai baru semalam meninggalkan dunia universiti namun hakikat ia telah lama meninggalkan saya semakin boleh diterima. Tatkala merenung gambar-gambar, terasa lain benar melihat keadaan diri yang rata-ratanya, sudah pun berubah 'saiz'nya malahan juga telah sangat jauh antara satu dengan lain meskipun ada yang cuba menghubungkan diri dengan yang lain menerusi facebook, email group, twitter, friendster dan sebagainya, kerana hakikatnya masing-masing telah jauh dengan dunia rumahtangga dan kerjaya masing-masing sememangnya sudah tidak dapat disangkal lagi.

Dulu semasa di Komsis Firdaus (atau lebih popular dengan Firaun) saya paling rapat dengan Che Khairul Azhan, dan kemudiannya dengan group lima serangkai iaitu Specky (Fadzly Izzat), Bucu (Faizal Yunus), Merdan (Hamdan Yunus), Tom (Arfizan Ramly) dan Mike (Zaheruddin). Dan kalau boleh ditambah Black (Hafiz Suhaili). Keriangan berada di samping mereka tidak dapat saya gambarkan. Keseronokan bersama, pesta 'b*****d' untuk Birthday, disergah oleh Residen Staff (RS) Puan Rusnah yang jugak merupakan lecturer Law kami memang kekal menjadi memori indah yang kekal terpahat sampai bila-bila.

Semester Akhir di UiTM Melaka tidak dapat tidak merupakan semester terbaik dalam hidup saya, hatta di UiTM Shah Alam pun tidak ada satu pun yang mampu menandingi suasananya....Macam-macam yang menjadi memori. Di saat membicarakan hal ini, saya teringatkan radio buruk saya, yang dikatakan rakan-rakan saya sebagai radio zaman Jepun disebabkan oleh buruknya. Tapi apa yang nak saya kongsi radio tersebut banyak menemani saya sejak saya sekolah lagi. Itulah radio yang banyak memutarkan lagu-lagu menerusi kaset Hindi dan Inggeris pilihan saya.

Begitu juga saya turut teringatkan motosikal Honda Cup yang saya bawa dari rumah ke UiTM. Dengan kelajuan maksimum 40KM sejam, sudah cukup untuk menjadi 'bahan ketawa' rakan-rakan, tapi tidak pernah saya kisahkan itu semua kerana ia juga banyak berjasa kepada saya.

Jika ingin diceritakan memang banyak lagi. Belum masuk lagi kisah saya dan Bob berkongsi memenangi anugerah pelakon terbaik drama Hang Tuah & Hang Jebat yang dipentaskan di parking lot maintainance UiTM Melaka, dan Kumpulan Drama Part 6 diisytiharkan johan drama dan johan Nasyid, begitupun kami membuat persembahan pada malam seribu bintang di mana kumpulan Part 6 membuat persembahan lagu medley dengan Specky bertindak selaku pemain gitar utama dan saya bermain bongo. Belum cerita Dinner Malam Pra Graduan di Hotel Equatorial, Banda Hilir, Melaka, Presentation MEDEC (Usahawan) yang mana group kami diberi nama Syarikat Ruqodah Basebu (bermaksud Rumah Kos Rendah Bawah Sepuluh Ribu - sesuai dengan nama projek yang kami buat) dan tentang itu tak pernah saya terlupa yang mana kami betul-betul membuat persediaan presentation tersebut betul-betul sehari sebelum dengan menaiki kereta Specky ke sana ke mari. Huh, kalau diingatkan balik memang nostalgia gilerr!!

Terima kasih buat para sahabat di atas jasabaik kalian yang sudi menjadi sahabat dari dulu sehingga kini, semoga ikatan yang terjalin sejak sekian lama, setidak-tidaknya... ia tidak pernah dilupakan, dan biarlah ia menjadi sebahagian daripada sejarah hidup kita.

Saya sentiasa mendoakan kalian hidup bahagia di dunia dan di akhirat.

Wassalam.


Inilah gambar ketika selepas saya dan rakan-rakan dinobatkan sebagai johan pertandingan drawa interpart. Saya jadi Hang Tuah (baju hitam berdiri dua dari kanan)
Ini ketika membuat persembahan dengan rakan-rakan pada malam seribu bintang. Saya yang berdiri nombor tiga dari kiri. Masa ni tengah nanyi lagu MedleySpecky yang duduk tengah berselendang kain pelikat main gitar tu
Ini pulak memori semasa main bowling ramai-ramai. Saya nombor dua dari kiri yang tengah letak tangan kat atas kepala rakan saya, Tom





Disediakan oleh:

Syamsul Amri bin Hj Ismail (ACOY)




Tiada ulasan: